Sabtu, 28 Mac 2009

*******suksis-berakit di sg pahang********






































KOR SUKSIS UJI KETAHANAN DI SUNGAI PAHANG

Oleh : AHMAD REDUAN BIN MOHD YUSOF
Penolong Pendaftar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA)

Kuantan, 22 Mac 2009 - Kuala Sungai Pahang menjadi saksi ujian getir ketahanan pelatih Kor Sukarelawan Siswa/Siswi (Suksis) Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang sedang menjalani beberapa siri latihan lasak baru-baru ini.

Seramai 79 orang pelajar bersama lapan buah rakit dan diiringi 18 buah kayak dengan dibantu oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Jabatan Pertahanan Awam 3, Pasukan Gerakan Marin dan jurulatih Kor Suksis UMP menyertai ekspedisi berakit pada kali ini .

Acara bermula sebaik sahaja Pendaftar UMP, Sup/KS Hj. Mustapha Ibrahim melepaskan satu das tembakan ke udara. Ekspedisi ini melibatkan beberapa laluan iaitu di Kampung Sg. Pinang, Kampung Pelak, Sekolah Kebangsaan Pelak, dan garisan penamat di Sekolah Menengah Kebangsan Paloh Hinai.


Majlis Penutup Pertandingan Ekspedisi Berakit Sg. Pahang Kor Suksis telah dihadiri oleh Timbalan Ketua Polis Pahang, SAC1 Datuk Sharifuddin Abd Ghani. Turut hadir ialah ADUN Pulau Manis , Yang Berhormat Khairuddin Mahmud, Ketua Jabatan Pengurusan IPK Pahang, ACP Junaidi Mashud, Komandan Kor Suksis UMP, ACP/KS Prof. Dr. Abd Jalil Borham dan Ketua Polis Daerah Pekan Supt. Yahya Othman.

Menurut Dekan Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA), Prof. Dr. Abd.Jalil Borham, aktiviti ini menekankan aspek kepemimpinan, team working, pemikiran kreatif dan mengekalkan tahap kepolisian.
Pembabitan dan kerjasama pihak Ibu Pejabat Kontingen (IPK) Polis Negeri, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) dan jabatan-jabatan lain dalam Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan memberi pendedahan dan pengalaman pelatih memahami dunia kepolisian melalui aktiviti luar dan lawatan.

Pelatih diminta mengekalkan prestasi sehingga tamat pertauliahan nanti. Pengalaman ini bukan hanya untuk memenuhi keperluan pengajian malah apa yang penting peranan Kor Suksis dalam membantu pihak universiti dan masyarakat komuniti meningkatkan kesedaran pencegahan jenayah serta memelihara ketenteraman awam,katanya.

Sehari sebelum ekspedisi bermula, pelajar mengadakan program kemasyarakatan dan beramah mesra dengan penduduk Kampung Belimbing serta mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan Sekolah Kebangsaan Kampung Belimbing.

Selain itu juga turut diadakan perlawanan bola sepak berkain pelikat antara pelatih Kor Suksis menentang penduduk kampung dan bacaan Tahlil dan Kenduri Doa Selamat di Masjid Tok Tuan.

Perlumbaan pecut yang bermula di Sekolah Menengah Kebangsaan Paloh Hinai dan berakhir di Kem Usebika Kampung Paloh Hinai turut mendapat liputan daripada Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan